Friday, February 27, 2009

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN SMKDAA KALI Ke7, Tahun 2009







Tahniah kepada rumah WIRA = BIRU kerana menjadi juara keseluruhan kejohanan olahraga pada tahun ini. Tahniah juga kepada Mohd. Firdaus dan Noranasuha kerana menjadi olahragawan dan olahragawati pada tahun ini. Pertandingan perbarisan rumah sukan juga melihatkan kejayaan Rumah Wira manakala hiasan khemah dimenangi oleh Rumah Kuning (WAJA).

SMKDAA memang mampu melahirkan pelajar2 yang berpotensi dalam bidang sukan. Ini adalah kerana bakat dan peluang tidak pernah disia2kan oleh guru dan pelajar yang melahirkan altet yang berkualiti tinggi. Ini jelas dengan beberapa rekod sebelum ini berjaya dipecahkan. SYABAS SMKDAA, SYABAS PELAJAR dan TAHNIAH GURU2....

Monday, February 23, 2009

Sukantara SMKDAA 2009





Sunday, February 15, 2009

PENDIDIKAN LUAR TERAS DALAM PEMBENTUKAN SAHSIAH PELAJAR.











Perkhemahan Pendidikan Luar Sekolah Menengah Negeri Perlis 2009 bertempat di Tapak Perkhemahan Gua Kelam 2 diadakan pada 13 - 15 Februari 2009.

Aku bertugas mendaftarkan perserta perkhemahan, seramai 87 orang terdiri dari 43 lelaki dan 44 perempuan. Mereka merupakan pelajar tingkatan empat dari sekolah menengah di Negeri Perlis. 

Mereka didedahkan dengan aktiviti berbasikal termasuklah mengenali bahagian2 basikal dan penggunaannya, orienteering dan menjelajah gua. Aktiviti ini adalah sebahagian dari modul pendidikan luar. Modul disediakan bagi mencungkil potensi para pelajar melalui aktiviti pendidikan luar. Aspek kepimpinan, disiplin, ketahanan mental dan fizikal serta semangat berkumpulan diterapkan sepanjang perkhemahan.

Kumpulan ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Seramai 40 orang pelajar berkayuh sejauh 6km ke tapak perkhemahan dan sebahagian dari mereka dibawa menaiki coaster. Sekumpulan kecil ditugaskan memasang khemah bagi kesemua perserta dengan 4 orang bagi 1 khemah. Nilai tolong menolong dan bekerjasama diterapkan semasa aktiviti memasang khemah. 

Aspek J.E.R.I ( Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek ) dipupuk sepanjang program berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kesemua aspek ini disesuaikan dengan aktiviti luar dan diatur mengikut tahap perkembangan pelajar. 

Pelajar melalui sesi pecah bedungan atau "Ice Breaking" dan seterusnya dibahagikan kepada 4 kumpulan aktiviti. Setiap kumpulan melantik ketua yang dipertanggungjawabkan memimpin ahli kumpulan dan memastikan kebajikan ahli kumpulan. 

Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti kayuhan. Pada peringkat awal, mereka diterangkan mengenai anatomi basikal. Mereka berkayuh sejauh 11km melalui jalan berbukit yang agak landai dan cerun  serta menuruni jalan berbukit yang agak cerun di kawasan Kem Bina Negara dan PLKN Wang Kelian. Pelajar juga diajar mengenai penggunaan kompas, menentukan bearing arah dan menentukan pergerakkan berpandukan bearing yang diberikan.

Pelajar juga menjelajah gua bekas lombong bijih timah mengambil masa 3 jam. Mereka dapat melihat kesan peninggalan perusahaan bijih timah, pembentukan gua tirai guna yang berusia 300 juta tahun, kehidupan gua dan pelbagai lagi. Pelajar dapat menikmati, menghayati dan mensyukuri nikmat kejadian alam ciptaan Allah.

Pada malamnya, pelajar didedahkan dengan aktiviti kebudayaan iaitu mempelajari tarian "ayam didik", salah satu kebudayaan di negeri Perlis. Kebudayaan adalah salah satu modul bagi pendidikan luar dan juga Pusat Kokurikulum.

Selain itu, pelajar juga mempelajari tatacara pengurusan perkhemahan dan pengurusan peserta perkhemahan. Ini termasuklah cara melapor pergerakkan kepada Duty officer atau Pengawai Bertugas yang dilantik dari kalangan jurulatih.

Melalui pendidikan luar, pelajar dapat membentuk disiplin diri yang dapat membentuk dalam perkembangan potensi diri. Peserta-peserta perkhemahan ini merupakan pelajar yang terpilih dari setiap sekolah yang mengambil bahagian berdasarkan kepada potensi diri yang dimiliki. Peserta-peserta yang layak akan dipilih bagi mengikuti perkhemahan pendidikan luar peringkat kebangsaan.


Friday, February 13, 2009

Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W (Isi Khutbah terakhir rasulullah SAW)

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin,
Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.
Di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah : 

“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.

Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesunguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.

3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengmbil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.
Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.

“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)
Dipetik dari: http://izzahkhaulah82.blogdrive.com “

Thursday, February 12, 2009

Di TEBUK TUPAI

SALAM

Aku terpanggil untuk berbincang dan menyuarakan pendapat mengenai topik yang bagi kita bukan la asing iaitu "DITEBUK TUPAI". Apa makna?

Dari zaman dahulu, bila disebut buah sudah ditebuk tupai makna maruah seorang gadis sunti telah tergadai. Kesuciannya telah dinodai dan secara tidak langsung gadis itu sudah tidak ada kemanisannya lagi. Mengapa ini berlaku? Budaya dan cara hidup kita sendiri yang menyebabkan ini berlaku. Itu hakikat yang kita mesti terima. 

Agama Islam telah menggariskan, hidup berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah adalah yang berbaik. Rasullullah telah meninggalkan kita cara hidup yang diredhai Allah. Kita gah canang sana sini, aku Islam tetapi adakah kita mengamalkan apa yang diajarkan oleh Islam. 

Budaya berpasangan lelaki dan perempuan tanpa nikah adalah haram. Indah khabar dari rupa. Bila lelaki dan perempuan berjumpa berada diantara mereka ialah SYAITAN/IBLIS yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Muhammad S.A.W. Bisikan dan rayuan makhluk ini boleh melemahkan kita dan membawa kita ke jalan haram yang dilarang Allah S.W.T.

Hubungan haram ini selalunya tidak hanya sekadar bertemu, tidak hanya makan bersama dan  bersiar-siar tetapi juga membawa ke hubungan asmara. Bermula dengan pegangan tangan, usap mengusap, pelukan cinta dan hubungan seks tanpa nikah. 

Bagaimana ini terjadi? Anak gadis mudah menyerahkan kesucian diri atas dasar kasih sayang. Lemahnya mereka...Ya memang lemah. Sepatutnya golongan ini kita harus belai dengan didikan kasih sayang yang digariskan oleh Islam dan bukannya dibelai dengan kasih sayang menggunakan hawa nafsu yang tidak ubah seperti binatang. Si jantan bila dah bertanduk, mulala menggunakan pujuk rayu, katanya bukti cinta pada si gadis. Cinta kejadah apanya kalau sanggup melakukan perkara keji kepada insan yang lemah ini. Bukan itu saja, tak puas sekali diulang bila nafsu memuncak. SETAN betul. 

Bila si jantan ini dapat kemanisan hubungan haram ini, mula lah mencari lubuk baru. Lumrah memang tak pernah puas sekali. Jantan jenis murahan ini mula lah menjual minyak busuk ke sana ke sini mencari mangsa nafsu seterusnya. Dah kenyang tinggal. 

Si gadis setelah menyedari hal ini, barulah mula rasa menyesal dengan perbuatan terkutuk itu. Setelah heboh satu dunia, tersebar ke merata tempat gambar asmara barulah nak cari penyelesaian. Tubuh anugerah Allah dijaja merata. Jadi pandangan dan tontonan segenap pelusuk bentuk tubuh dan rupa maruah yang telah tercemar. Ini menjadi bualan rakan-rakan, sedara mara, pelajar2 universiti dan sekolah, tuan dan muda. Malu, mana nak letak muka? 

Islam mengajar kita tatacara pergaulan lelaki dan perempuan. Haram bersentuhan antara bukan muhrim. Si jantan suka pegang sebab kononnya tangan perempuan ini lembut. Lepas tu mula lah nafsu mencanak. Si gadis pulak seronok dibelai jantan buas ini. Tak kira orang lalu lalang, orang yang memerhati. Keji betul. Nie dah dekat ngan Valentine nie mesti ada lagi yang akan kehilangan maruah dan kesucian...

Didikan agama diberikan dari kecil lagi samada di rumah  dan di sekolah. Ibubapa mengajar anak solat, membaca Al-Quran dan nilai2 agama yang tinggi supaya anak2 menjadi anak yang soleh dengan berpandukan ajaran Islam. Di sekolah, guru memberi dan mengajar nilai-nilai murni kehidupan agar menjadi manusia cemerlang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. 

Nak salahkan ibubapa pun bukan semua mengabaikan tanggungjawab. Persekitaran memainkan peranan yang utaman dalam melahirkan generasi yang berakhlak. Misalnya, kita tanam pokok, kalau kita uruskan dengan baik penggunaan tanah, penggunaan baja yang sesuai dan ikut jadual siraman maka hasilnya akan bermutu. Begitu juga anak2, kita semaikan ajaran Islam, cara hidup yang digariskan Rasullullah S.A.W maka kita akan melahirkan generasi berakhlak mulia dan terpuji. Ajarlah anak2 bersolat, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan berzikir kerana ini akan mendekatkan diri dengan Allah. Sentiasa memohon doa agar membimbing dan menjauhkan diri kita dari kerja keji dan mungkar.

Gadis2 mudah termakan puji rayu si jantan Setan ini sebab mereka tidak mempunyai kekuatan iman yang utuh bagi menghalang ujian dan cubaan Setan ini. Dari mana datangnya kekuatan jiwa ini? Wujudkanlah hubungan dengan Allah melalui bersolat, menyebut dan memuji Allah dengan berzikir. Allah sayang hambaNya dan Dia sentiasa akan memberi rahmat dan naungan kepada hambaNya. InsyaALLAH. 

Jadi, berkawan itu boleh tetapi ada had batasannya. Jika sudah sayang dan kasih, suntinglah si gadis menjadi isteri dan bukannya jadikan mereka pelepas hawa nafsu binatang itu. Islam adalah cara hidup. Ibu bapa, pantaulah kegiatan anak2, jangan terlalu beri kebebasan. Si gadis, jaga la maruah diri, kesucian diri anda bukan boleh dijual beli. Bila sudah ditebuk tupai hilang segala kenikmatan yang Allah anugerahkan kepada insan yang bergelar IBU, UMI, EMAK dan sedarjat dengannya. Jangan terlalu percayakan si jantan yang hanya tahu berkokok dan tidak tahu mengeram. Carilah cahaya Islam kerana pintu taubat sentiasa terbuka sebelum ia ditutup buat selama-lamanya akhirat kelak. 

Salam - aku yang lemah

- joe Februari 2009 - 

Tuesday, February 10, 2009

Pengalaman Dr. Jamnul Azhar Mulkan dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie di Palestin






Salam...Alhamdullilah pada malam ini aku sempat mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Dr. Jamnul Azhar Mulkan mengenai pengalaman beliau berada di bumi Palestin bersama-sama Angkawasan Negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie dan Pemuda Masjid. 


Turut bersama-sama kumpulan Dr. Jamnul ialah 3 orang wartawan NSTP dan 7 orang dari TV3. Hanya dua jenis kumpulan sahaja yang boleh masuk ke Palestin sepanjang tempoh gencatan senjata iaitu kumpulan doktor dan juga wartawan. Pelbagai halangan bagi memasuki Palestin untuk tujuan misi bantuan ini, semuanya adalah atas faktor keselamatan. Dr. Jamnul tetap tabah dengan memperbanyakkan doa memohon Allah memberi peluang untuk bersama-sama rakyat Palestin dan membantu misi perubatan itu. 


Beliau mahir berbahasa Arab dengan pengalaman belajar di Mesir selama 13 tahun digunakan untuk meyakinkan polis sempadan dan membenarkan mereka masuk. Beliau berkata, sepanjang menunggu kebenaran untuk memasuki Palestin, kelihatan sekumpulan unta melintas bermakna petanda baik bagi mereka menurut kepercayaan Arab. beliau memohon agar ulama2 Malaysia mendoakan supaya kumpulan mereka dapat memasuki Palestin bagi tujuan murni tersebut. Keyakinan ditambah dengan penyertaan Angkawasan Negara yang mengagumkan pihak polis sempadan dan akhirnya mereka berjaya memasuki Palestin melalui pintu belakang. Sebanyak 80 NGO menunggu peluang untuk masuk ke Palestin. 


Proses untuk masuk ke Palestin bukannya mudah, mereka perlu melalui proses di mana kelulusan untuk masuk juga adalah dari pihak Israel sendiri. Maknanya mereka sahaja yang mempunyai kuasa dalam urusan ini. Kumpulan Dr.Jamnul berjaya menemui Hamas dan pihak kerajaan Palestin. Mereka berterima kasih atas kehadiran Pasukan Malaysia dalam membantu kesengsaraan rakyat Palestin. 


Kumpulan Dr. Jamnul kesana adalah untuk urusan bantuan perubatan dalam merawat mangsa2 perang. Seramai 80 doktor dari segenap pelusuk dunia datang ke Palestin untuk misi ini dan mereka semua adalah pakar dari pelbagai cabang perubatan. Masing2 mempunyai satu niat ikhlas dan murni, membantu mangsa perang. Tidak ketinggalan Dr. Sheikh juga melakukan pembedahan seorang mangsa perang yang hancur kedua2 belah kakinya. Dr. Jamnul bangga dengan semangat keislaman dan ukhuwah diantara saudara Islam yang ditunjukkan oleh ahli-ahli perubatan itu. Dr. Jamnul Azhar Mulkan dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie serta kumpulan perubatan tidak memandang keselesaan, mereka sanggup tidur di mana asal ada kesempatan. Kumpulan ini disambut sebagai tetamu negara. 


Semasa melakukan pembedahan, ketika itu juga kedengaran letupan dan bedilan bom dari pihak Israel berdekatan dengan pejabat pentadbiran hospital. Keadaan mangsa perang amatlah teruk, putus kaki, tangan, pecah kepala, hancur, bersepai dan macam2 lagi keadaan yang tidak sanggup kita lihat. Beliau dapat melihat kebenaran betapa sengsaranya mangsa kekejaman Israel ini. Alhamdullilah mereka ini semua mati syahid dan janji Allah ialah Syurga. Itulah tahap kematian yang ingin dicapai oleh semua umat Islam. Allah mengambil kesengsaraan mereka dan menggantikan dengan kenikmatan Syurga.


Melihat keadaan ini, Dr. Jamnul membuat panggilan ketanah air untuk bercakap dengan ahli keluarga, katanya sekiranya dia mati, janganlah dituntut mayatnya. Mayat2 syahid ini Allah pelihara tidak busuk, berkeadaan senyum seolah2 tiada kesengsaraan.
 
Tentera Israel bersifat seperti haiwan dan lebih teruk dari binatang. Mereka membabi buta membunuh bayi dan ibu, membakar dan macam2 lagi. Menyerang kompleks anak yatim, melepaskan bom menyebabkan anak2 yatim ini berkecai dan hancur sama sekali. Kata mereka, bayi ini akan menjadi askar, mereka akan menentang kami manakala ibu pula melahirkan askar-askar Islam. Mereka menembak bangunan rumah dengan kereta kebal, bergerak melalui runtuhan bangunan kerana bimbang akan periuk api yang ditanam oleh HAMAS. 


Selepas misi perubatan selama 4 hari selesai, Seorang pemandu teksi membawa kumpulan Dr. Jamnul kerumahnya. Akhirnya dia mendedahkan diri bahawa dia adalah ketua kumpulan Hamas dikampungnya. Dr. Jamnul sempat ditunjukkan dengan kelengkapan persenjataan yang disimpan. Detik2 perpisahan amat menyayat hati, pemandu teksi itu berkata, sekiranya dia syahid, beliau akan menjadi saksi bahawa Dr.Jamnul dan rakan2 lain pernah datang ke Palestin membantu rakyat Palestin. Mereka berpelukan dan masing2 mengalirkan airmata kerana dengan semangat yang ditunjukkan oleh Islam Palestin. Dr.Jamnul berkali2 cuba menghubungi pemandu teksi itu sebaik sahaja keluar dari bumi Palestin namuk gagal. Cubaan terakhir ialah semasa sampai di Malaysia, adik kepada pemandu teksi itu memberitahu bahawa abangnya telah syahid dua hari yang lalu. Itulah kenangan yang amat menyayat hati. 


Begitulah serba sedikit pengalamanDr. Jamnul Azhar Mulkan dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie semasa di Palestin. Semoga dengan pendedahan ini diharapkan akan menaikan semangat kita dalam berjihad menentang kezaliman dan penindasan terhadap Islam. Semoga kita diberi kekuatan seperti saudara Islam kita di Palestin. 


Dr. Jamnul Azhar Mulkan dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie maafkan saya sekiranya apa yang disampaikan ini berlainan dari apa yang diceritakan oleh tuan. Yang buruk itu dari saya dan yang baik itu adalah dari ALLAH. 
SALAM PALESTIN


Bulan









Kangar, 9 Februari 2009. Aku cuba merakamkan perubahan bulan pada malam 9 Februari bermula pada jam 2035 sehingga 0045, 10 Februari 2009. 
Secara mata kasar aku tidak dapat melihat sebarang perubahan yang berlaku, cuma sekali-sekala pergerakkan awan melindungi penglihatan dan bulan agak kabur. Aku tidak pasti apakah perubahan pada gambar yang dirakam ini yang membawa maksud kejadian gerhana bulan. 
Apa pun, bulan ada ciptaan Allah yang tidak mampu manusia lemah ini mencipta atau merubah bentuk.
Teori menyatakan bahawa Neil Amstrong adalah manusia pertama mendarat ke bulan juga turut disangkal. Ini kerana, untuk ke ISS sahaja, bekalan bahan api yang diperlukan adalah sebanyak 3 hari perjalanan terus-menerus tanpa henti untuk  sampai ke ISS.  Kedudukan bulan adalah lebih jauh dari ISS, maknanya bahan api yang diperlukan adalah jauh lebih banyak iaitu 7 hari perjalanan.
Hanya Allah yang mengetahui dan kita manusia tidak dapat mengatasiNya...


Sunday, February 8, 2009

Masjid Al-Ghuffran, Alor Setar

Salam, Masjid Al-Ghuffran terletak di Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.  Keindahan ciptaan dan reka bentuk masjid ini amat menarik dengan seni Islam dan moden. Ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini bagi menunaikan solat Asar bersama2 rakan iaitu Zamzaidi dan Ismahisham.

Rekaan dalam disokong oleh 4 tiang besar yang menjulang kubah masjid. Disekeling bahagian atas dinding masjid dan kubah dihiasi dengan ayat2 Al-Quran yang begitu indah seninya. Apa yang menarik ialah naskah2 kitab suci Al-Quran disalut keemasan dan ditempatkan dikebanyakkan ruang supaya mudah dicapai. 

Untuk pengetahuan semua, kedudukan masjid ini tidak jauh dari Rumah Kelahiran Mahathir yang terletek di belakang kilang ais dan juga Maktab Mahmud Alor Setar. 

Futsal @ d'Futsal



Malam nie aku joined team futsal SMK Perlis, tempat aku bertugas last year. Hehehe. Dah lama gak tak main so faham2 ja lah apa jadi hehehe. Masalahnya xdak rotation. Jenuh jugak la nak pulun. Tapi sekurang2nya dapat juga keluaqkan peluh. 

Start main kul 9.30pm, mula tu aku tak nak main tp bila dah sampai kat d'futsal aku teruja pulak nak main. So, aku gegas balik rumah tukaq baju. sempat juga aku main dalam setengah jam. Mula2 main atas lepas tu agak2 dah tak cukup angin, aku main goal keeper. Awal2 tu mmg boleh la bertahan, banyak biji juga safe. hehehe. Bolos pun boleh tahan gak la sebab pakat tendang kaw punya...tak lari tinggalkan gol tp defend diri...wah tak sanggup kena bola akibat tendangan tu....

Saturday, February 7, 2009

Yang di-Pertuan Agong

Entri hari ini ialah berkaitan dengan Yang .di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara. Kebelakang ini, rakyat sudah hilang pertimbangan dengan melontarkan pelbagai tohmahan dan secara tidak langsung tidak menghormati Sistem Raja di Malaysia. 
Rakyat sudah hilang pertimbangan disebabkan oleh terlalu taksub dengan segelintir pemimpin yang lebih mementingkan kedudukan dan perjuangan kepada bangsa dan negara. Sudahlah wahai rakyat Malaysia yang dikenali dengan adat, kesopanan dan budaya bangsa yang tinggi, marilah kita merenung kembali apa yang telah berlaku. Jika ini berterusan maknanya, kita mungkin tidak akan lagi mengecapi keamanan dan kemakmuran selama ini. 

Yang di-Pertuan Agong
Gelaran Yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun).

Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik.
Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan. Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu.

Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu: Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Syarat yang akan diambil kira ialah:
  • Kekananan di kalangan Sultan dan Raja;
  • Baginda berkenan untuk menjadi Agong;
  • Tidak mengalami kelemahan atau ketidak upayaan mental;
  • Merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas;
  • Mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain;
  • Dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertua usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila baginda telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan.

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:

  • Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
  • Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

  • Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000

  • Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979

  • Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1924, memerintah pada 1970-1975

  • Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979

  • Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984

  • Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989

  • Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994

  • Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2008

  • Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001

  • Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006

  • Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-kini



Popular Posts