Saturday, March 22, 2008

Peristiwa Memali 1985






Peristiwa Memali telah terjadi pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang mati dan berpuluh-puluh cedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemuan yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud/Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi mereka sebagai 'Operasi Angkara/ Operasi Hapus'.

Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di negara China.

Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama. Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh Polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.
Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali,mukim Siong,Baling Kedah. Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian belajar lagi di di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri. Kerap berceramah agama Islam di RTM 1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya. Pada 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. 5,081 undi diperolehi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Terlalu banyak
ajaran sesat di Malaysia sehingga menyerang Balai Polis Batu Pahat dan serangan terhadap kuil Hindu di Kerling. Kementerian Dalam Negeri Malaysia menerusi polis dan pegawai agama di Jabatan Agama Islam tidak mahu insiden ini berpanjangan. Ajaran sesat haruslah diracun terlebih dahulu sebelum menjadi tragedi. Peristiwa Memali adalah insiden yang dituduh oleh parti pemerintah sebagai satu kaedah untuk menghapuskan ajaran sesat. Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Penang), Pasukan Senoi Prak, Anggota Polis beruniform, Commando 69 dari Ulu Kinta menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.
Malam itu Ibrahim Mahmud memberi kuliah sehingga jam 11.45 malam . Penduduk seramai 50 orang hadir. Kuliah atau ceramah biasa jarang benar sehingga 11.45 malam. Kecualilah ceramah politik, itupun ada sekatan dan larangan dan perlu permit daripada Balai Polis Daerah. Sekatan jalan raya dan meminta Ibrahim Libya menyerah diri merupakan tindakan terbaik. Alternatif lain turut difikirkan. 10 orang polis dikatakan telah menyusup masuk ke Kampung Memali dan memberi laporan.

Jika tindakan mengepung dilakukan, mungkin memakan masa 3 bulan. Dua buah kereta perisai digunakan bagi mengelakkan kemalangan di kalangan FRU dan polis. Tambahan pula Baling merupakan kawasan berhampiran sempadan di mana komunis dipercayai masih berkubu . Komunis sentiada mencari titik lemah anggota tentera yang meronda sempadan Malaysia-Thailand.

Ibrahim Libya dan 39 pengikutnya yang tidur di madrasa tersebut telah dimaklumkan oleh seseorang akan bilangan polis yang ramai di Balai Polis Sungai Petani. Pelbagai senjata ala kampung disediakan seperti kapak, pisau dan buluh runcing. Mereka yang mahir memasang molotov cocktail yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol. Seluruh pengikut Ibrahim Libya didakwa percaya tubuh mereka 'kebal' setelah minum air telaga di kawasan madrasah. Mereka turut solat hajat, membaca surah Yassin dan berzikir sebagaimana pahlawan Islam dahulu. Sepasukan polis yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Polis Anti-Pengganas Komando 69, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Tugas Am bertindak melakukan serbuan di madrasah tersebut. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan seorang konstabel tertembak. Mengikut sumber dalaman, mereka yang terkorban terkena peluru sesat dari pasukan tersebut itu sendiri semasa serbuan dibuat.[petikan diperlukan] Tiada penduduk yang pernah dibicara kerana memiliki senjata api selepas kejadian tersebut.

Dua helikopter polis digunakan bagi membawa pegawai polis yang terkorban. Mangsa yang cedera dan mati dihantar ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Alor Star. Dianggarkan seramai 13 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya. Menurut sumber, beliau ditembak berpuluh kali di dadanya oleh anggota Komando 69, dan sempat mengucapkan kalimah syahadah dipangkuan seorang pegawai kanan polis yang memangkunya sebelum beliau meninggal dunia. Jenazah Ibrahim serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada. Darah dan peluh mereka dikatakan masih basah walaupun sudah berhari-hari di bilik mayat. Sultan Kedah sendiri turun mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut. Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

..sesuatu yang mesti diingatkan kepada saudara-saudara yang masih hidup lagi sesudah kami para mujahiddin ini bertemu dengan Allah swt di dalam syurga firdaus. Kalau saudara/i masih hidup lagi akan berdosa kepada Allah sekiranya zuriat akan datang akan kencing di atas kubur-kubur saudara kerana saudara hidup tidak mahu berjuang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Kami para mujahiddin yang sudah mati syahid dan dikuburkan berserta darah-darah merah.. kami berada di syurga dan saudara-saudara tetap berdosa dengan Allah Taala seandainya saudara masih berdiam diri..."
.
Itulah antara ucapan-ucapan jihad dari Assyahid Ibrahim Mahmood atau turut dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya dalam majlis tamrin khusus kepada ahli-ahli Pas Kawasan Baling dalam tahun 1985. Beliau seolah-olah telah mengetahui saat kesyahidannya dan membayangkan telahpun berada di syurga firdaus menikmati penghormatan Tuhannya.
.
" Insyaallah kalau kita dapat mati syahid, inilah suatu kematian yang istimewa dalam dunia ini. Tuan-tuan janganlah cuba melangkah kaki berpaling ke belakang dari perjuangan Islam. Ketika kita melangkah berundur dari musuh kita, ketika kita ditembak mati, dalam hal seperti itu maka kita mati seperti mati katak. Tetapi kalau kita berada dan berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang menyekat pergerakan Islam, maka kita akan mencapai mati syahid.."
.
" Orang-orang yang mati syahid ini, tulang temulangnya serta kulit mereka tidak reput untuk selama-lamanya. Mereka tinggal di bawah tanah serta semerbak harum bau mereka. Sesungguhnya orang yang mati syahid adalah orang-orang yang duduk setaraf atau satu saf dengan penghulu para syuhada, Syaidina Hamzah bapa saudara Rasulullah Saw yang gugur syahid di medan pertempuran Uhud bersama 70 orang para syuhada Uhud. Orang-orang yang mati syahid tidak dihisap dan ditimbang menimbang akan dosa dan pahala mereka di padang Mahsyar kelak. Mereka terus masuk syurga dengan izin Allah. Malah mereka dapat pula memberi berkat kesyahidannya itu kepada 70 orang sahabat handai dan saudara mereka untuk memasuki syurga firdaus Allah SWT di akhirat"
.
"..Mereka ini akhirnya apabila mati dalam hal itu dinamakan mati syahid yang telah diambil mereka itu akan dibawa ke dalam syurga Firdaus menjadi burung-burung hijau dan memakan makanan-makanan syurga sejak daripada mula malam mereka gugur syahid itu atau siangnya tanpa ditanya atau dipersoalkan lagi.."
.
Siapa Assyahid Ibrahim Mahmood?
.
Sebelum tragedi itu, namanya kurang dikenali ahli Pas kerana Assyahid lebih aktif di Negeri Kedah sahaja. Apabila mendengar warta berita malam itu dan kejayaan pihak keselamatan dalam operasi membenteras kumpulan ajaran sesat, penyusun terbungkam dengan pertanyaan 'siapa pula penjenayah' ini kerana terlihat kaum wanita bertudung labuh hitam dan berkopiah putih di kaca TV. Sebelum itu penyusun turut ada pengalaman diserbu pihak keselamatan ketika duduk mendengar ceramah politik di Kuala Lumpur. Memang kecut perut juga bila diserbu begitu dengan silauan lampu kamera dan tubuh-tubuh gempal menerpa ketika kami asyik mendengar syarahan pimpinan.
.
Keesokan harinya, media-media masa negara bertali arus memaparkan kejadian berdarah tersebut dan itulah kali pertama penyusun mengenali nama Ibrahim Libya dan Memali. Tanda persoalan bertambah kusut apabila melihat bendera bulan di pagar rumah mangsa. Sebilangan sahabat-sahabat turut bingung dan berhati-hati untuk mengulas kejadian tersebut. Pihak yang tidak menggemari kerja-kerja dakwah turut menunding jari kepada ahli-ahli Pas kerana terpengaruh tuduhan tragedi itu berlaku kerana angkara puak pelampau agama, pendakwah dan ajaran sesat. Penyusun masih ingat betapa sukarnya rakan-rakan yang aktif dalam kerja dakwah di pejabat berdepan dengan rakan-rakan sekerja yang masih 'happy go lucky' dan ada muslimat yang bertudung didiskriminasi dan dimalukan.
.
Beberapa hari berikutnya, satu perhimpunan untuk mendengar taklimat pimpinan telah diadakan di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar. Waktu itu, bangunan markaz masih kecil dan dalam pembinaan. Kami berasak-asak dalam dewan yang kecil dan penyusun duduk betul-betul di tepi rostrum penceramah. Apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berucap menjelaskan keadaan sebenar tragedi itu, hati begitu diruntun sayu dan bila beliau terhenti berucap dan tersedu, tanpa sedar airmata pun jatuh berderai. Penyusun melihat hampir kesemua hadirin turut menangis sehingga ada terdengar suara tangisan lelaki agak kuat. Antara yang penyusun melihat mengesat airmata ialah Ustaz Nakhaei Hj Ahmad Naib Yang Dipertua Agong Pas ( sebelum berpaling meninggalkan jamaah) kerana penyusun duduk bersebelahan beliau.
.
Di majlis tergempar itulah penyusun mendapat maklumat sebenarnya. Apa yang dipaparkan oleh media utama negara cukup bercanggah dengan taklimat pimpinan Pas. Tragedi itu betul-betul menjadi isu besar kepada negara dan paling memilukan dalam perjuangan Pas. Berbulan-bulan media masa melaporkan haru-biru ini dan hampir kesemua pihak lawan menyalahkan assyahid Ibrahim Mahmood dan pengikutnya kerana dianggap penjenayah, mengamal ajaran sesat, pelampau, bughah dan sebagainya. Sebelum itu, kami nyaris termakan pembohongan bila ditunjukkan ada gambar pengikut tersebut memakai tangkal di pinggang dan meminum air yasin dalam kolam untuk kebalkan diri.
.
Majlis Fatwa samada peringkat Kebangsaan atau Kedah diarahkan menyiasat perkara tersebut, apatah lagi bila ahli-ahli Pas mendakwa mereka adalah para syuhada berdasarkan matlamat perjuangan dan tanda-tanda kesyahidan pada batang tubuh mereka. Penyusun kira pihak berkenaan juga panas miang dan terdesak untuk menyakinkan rakyat bahawa para syuhada itu golongan subersif, sesat dan membahayakan negara. Mereka ( pimpinan politik) ada yang tidak sabar mengeluarkan kenyataan sebelum siasatan majlis fatwa. Sebagaimana yang dijangkakan maka fatwa mengatakan mangsa-mangsa di Memali adalah 'bughah' dan tidak syahid ma'rakah, iaitu bukan syahid perang menentang golongan yang menentang pergerakan Islam. Antara ulama rasmi yang ditugaskan menyiasatnya ialah seorang mufti dan beberapa hari kemudiannya terpampang pula dalam akhbar beliau meninggal dunia secara mengejut.
.
Mimpi
.
Dalam suasana muram itu, kami mendapat berita terkini oleh pihak tertentu bahawa ada seorang Tuan Guru Pondok di Kedah telah bermimpi bertemu assyahid. Almarhum kononnya memberitahu 'tunggulah seratus hari' maka kami pun tertunggu-tunggulah hari tersebut. Penyusun melakarkan kisah ini hanyalah untuk mengimbas kembali situasi gawat waktu itu dan kesimpatian kami yang mendalam terhadap para sahabat yang telah mendahului kami dalam perjuangan ini. Ironisnya, saban hari membelek bilangan hari di kalendar hingga hari ke seratus.. tidak pulak kami melihat sebarang tanda perubahan. Maha suci Allah yang menguasai alam ini, apakala tersibar berita gempar dalam negeri tentang surat perletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, sesalinan surat perletakan jawatan yang tersibar luas itu tercatat tarikh 'bertepatan' hari keseratus mengikut kalendar hijrah. Lagi sekali airmata penyusun berlinangan tanpa malu mengenang kebobrokan manusia yang hilang kewarasan demi menyahut kebatilan.
.
Teringatlah penyusun akan kata-kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis taklimat selepas tragedi itu:
.
" Apabila engkau melihat umatku takut untuk berdepan dengan orang-orang yang zalim dan berkata kepada orang-orang yang zalim itu, wahai si zalim! ( tidak berani mengatakan zalim kepada mereka) maka diterimalah ucapan selamat tinggal daripadanya" - hadith riwayat Imam Ahmad.
.
"Dalam satu riwayat yang lain, maka perut bumi lebih baik dari atasnya. Suatu amanat dari Rasulullah saw yang menjadi pegangan teguh kepada kita.. "
.
Pada kesempatan yang lain pula, penyusun menghadirkan diri dalam kuliah bulanan almarhum Ustaz Dato' Fadhil Noor, Presiden Pas di Masjid Ar Rahman, Kuala Lumpur. Di sana secara tidak langsung almarhum telah meriwayatkan kisah seorang sahabat Nabi saw yang bertekad untuk mati syahid dalam suatu peperangan, beliau telah melilitkan sehelai kain merah dan terus ke medan perang untuk syahid. Ini memutarkan ingatan penyusun kepada dakwaan yang mengatakan ada pengikut assyahid Ibrahim Mahmood memakai tangkal kain di perutnya sebagai tangkal kebal( baca perenggan kesembilan di atas). Jelas betapa kekeliruan dan kejahilan jika kita tidak mengkaji perjalanan sirah Nabi sehingga apa yang tersimpul dalam benak kepala itu rupa-rupanya sudah terjawab di zaman Rasulullah saw sendiri.
.
Kemudian, apabila berlaku pergeseran antara dua pihak dalam UMNO sehingga terbentuknya 2 team dan berakhir pula kepada pengharaman parti kebangsaan tersebut. Lagi sekali media masa tanpa sedar memaparkan perang mulut kalangan mereka hingga saling tuduh menuduh punca angkara tragedi berdarah itu. Akhirnya, ahli-ahli Pas khususnya termaklumlah akan siapa banjingan utama dalam kejadian tersebut dan siapa pula pihak yang menjulang panji kebenaran. Mereka membuka pekung sendiri dan tidak mustahil percikan darah syuhada itu telah mengenai pakaian orang-orang memfitnah para syuhada tersebut.
.
Biografi Asy Syahid
.
Ustaz Ibrahim Mahmood dilahirkan dalam tahun 1944 di Kampung Memali, Baling ketika masih dalam zaman pendudukan tentera Jepun. Baling adalah sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman, sebelum ini terkenal sebagai daerah termiskin dan retetannya para petani yang disokong oleh para mahasiswa negara pernah mengadakan demotrasi terbesar di awal tahun 1970an. Di sana jugalah terjadinya perundingan antara pentadbiran kerajaan Tanah Melayu dengan pimpinan parti kominis Malaya pimpinan Ching Peng.
.
Ketika penyusun sempat bertugas di pekan Baling ini beberapa tahun lalu, penyusun dapati pembangunan daerah ini agak perlahan tetapi tidaklah seteruk dalam gambaran pemikiran sebelum menjejakkan kaki ke sana. Keperitan hidup petani mungkin tidak menyamai kepedihan luka-luka peninggalan tragedi berdarah yang ditanggung oleh waris peninggalan para syuhada dan mereka yang cedera. Cemuhan dan lebel sebagai keluarga pengkhianat negara sudah cukup membekas dalam sanubari. Pihak yang tidak menyenangi assyahid di Memali masih menaruh syak wasangka bahawa mereka 'tidak syahid' dan terus menyakininya.
.
Berdasarkan latar belakang pendidikan dan kerjayanya, terbukti assyahid mendapat pendidikan yang terbaik. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Poko Sena. Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadith. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir. Lepas itu menamatkan pengajiannya di Libya pula.
.
Bertugas di Jabatan Perdana Menteri
.
Dalam buku kisah perjuangannya, dinyatakan bahawa assyahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
.
Membina Madrasah
( sambungan kisah ini akan diteruskan setelah penyusun menemubual adik assyahid iaitu Ust. Ismail Mahmood, beliau juga turut tercedera dalam tragedi tersebut)

4 comments:

jiwakitamerdeka said...

Di UK pada waktu itu...di ciptakan nasyid Jalan utk Ke Syurga

Jalan utk ke syurga, penuh ranjau dan duri
Jangan di sangka mati, di sisi Tuhan pastinya tidak
Menjadi para syuhada...

Teruskan perjuangan sampai syahid.

MekonG said...

see my site more about this..
http://mekongpeace.blogspot.com

chengaibay said...

perihal kejadian memali

http://chengaibay.blogspot.com/2011/02/perjalanan-peristiwa-berdarah-di.html

Mazlum Syahid said...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:



Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

Popular Posts