3 ekor lembu disembelih bagi dijadikan korban Aidil Adha pada tahun ini. Aku juga turut sama melakukan ibadat sunnat ini. Alhamdullilah segalanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Pelbagai lapisan masyarakat di sini turun padang bertungkus lumus menjayakan program ini.
Seperti tahun-tahun lalu Pak Sidek adalah orang yang bertanggungjawab menyembelih lembu-lembu korban ini. Kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat di sini sungguh membanggakan. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera.
Ibadat ini adalah bersempena mengingati peristiwa nabi Allah, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam mematuhi perintah Allah Maha Pencipta. Satu pengorbanan yang ikhlas dari kedua-dua pesuruh Allah walapun berat hati untuk melaksanakannya. Peristiwa ini haruslah dijadikan teladan dan ikhtibar pada semua umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah.
Hari Raya ini dikenal dengan Hari Raya Haji kerana bersempena dengan umat Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau dipanggil juga Hari Raya korban kerana diperintah supaya kita berkorban, sekaligus mengingatkan kita kembali sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, ketika Allah S.W.T memerintah beliau menyembelih korban kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s.
Perintah ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan penuh keikhlasan dan keyakinan serta mengatasi perasaan sayang kepada anaknya. Begitu juga anaknya Ismail dengan rela hati menyerah dirinya untuk dikorbankan demi menjunjung perintah Allah. Walaupun Allah menggantikan penyembelihan anaknya dengan tebusan seekor kibas, tetapi Allah sifatkan Nabi Ibrahim itu telah mengorbankan anak sulungnya, Nabi Ismail kerana kesungguhan dan azamnya melaksanakan perintah Allah melalui mimpinya yang benar itu.
Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saffaat ayat 103-105 yang bermaksud:
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya, atas tompok tanah (untuk disembelih) serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu," demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan".
Allah menjelaskan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelihkan anaknya itu sebagai ujian. Seperti mana Firman Allah dalam Surah As-Saffaat ayat 106-107 yang bermaksud:
" Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas)."
Kepatuhan yang ditunjukkan oleh Ibrahim dan anaknya Ismail a.s adalah hasil daripada kecintaan kepada Allah S.W.T mengatasi kecintaan kepada sesuatu yang lain. Sewajarnya kepatuhan yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua beranak ini menjadi ikutan dan tauladan kepada umat Islam pada hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah S.W.T. Apa yang didapati pada hari ini terlalu banyak alasan yang sengaja dicari oleh pemimpin sekular pada hari ini untuk tidak terlaksana hukum Allah di atas muka bumi ini.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi, Selepas sahaja selesai mengerjakan solat 'idul Adha, umat Islam yang berkemampuan diminta mengorbankan ternakan mereka sama ada kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan seumpamanya. Binatang yang hendak dikorbankan itu mestilah cukup umur, sihat, gemuk dan tidak cacat, pada masa yang sama suara takbir terus kedengaran untuk membesarkan keagungan Allah S.W.T.
Menyembelih binatang korban boleh dilakukan pada hari raya pertama 'Idul Adha sehinggalah hari-hari Tasyrik selepasnya selama tiga hari di mana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
" Setiap hari Tasyrik adalah penyembelihan"
Kesediaan sebilangan umat Islam untuk mengorbankan binatang ternakan mereka pada hari ini menunjukkan sifat berkorban dan bersedia untuk berkorban masih lagi menjadi satu pegangan hidup masyarakat Islam. Tetapi untuk apa mereka menyembelih binatang ternakan tersebut: Apakah untuk menunjuk-nunjuk harta dan wang ringgit yang mereka miliki atau benar-benar kerana ketaqwaan kepada Allah S.W.T? Inilah yang menjadi persoalan.
Apa yang lebih penting dan lebih utama ialah kesediaan umat Islam berkorban mesti berasaskan rasa taqwa kepada Allah dan melaksanakan segala suruhannya sesuai dengan firman Allah Ta'ala dalam Surah Yunus ayat ke-58 yang bermaksud:
"Katakanlah, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya, hendaklah dengan itu mereka bergembira, kurniaan Allah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan"
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.
Umat Islam pada hari ini hendaklah menjadikan semangat korban dan bersedia untuk berkorban sebagai tunjang utama kepada pengakuan tauhid terhadap Allah S.W.T, bukannya ucapan tauhid terhadap Allah S.W.T hanyalah di bibir sahaja yang tidak diketahui nilai sebenarnya tanpa melalui pengorbanan yang dituntut oleh Islam ini kerana bukannya mudah untuk mencapai ketaqwaan dan keimanan terhadap Allah S.W.T tanpa berkorban dan dibuktikan dengan pengorbanan.
Islam sangat-sangat menuntut pengorbanan dalam apa jua keadaan sekalipun, tambahan pula umat Islam pada ketika ditimpa oleh penyakit "Hubbuddun ya"-cintakan dunia" dan "membenci kematian" - umat Islam pada hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita kebendaan sehingga sanggup menjual keimanan dan kebenaran dengan wang ringgit dan harta benda.
Umat Islam pada hari ini sanggup menjatuhkan kawan sendiri dengan melakukan fitnah demi mencapai hajat dan matlamat kebendaan bahkan mereka sanggup membunuh demi wang ringgit kerana mereka telah pun mengambil jalan mudah dengan amalan rasuah, menipu dan sebagainya kearah mencapai cita-citanya. Lantaran kerana mereka begitu takut untuk menghadapi kematian walaupun kematian itu tetap akan menemuinya walaupun di mana mereka berada. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 57 yang bermaksud:
" Tiap-tiap yang bernyawa akan merasa mati, kemudian hanyalah kepada kami kamu dikembalikan".
ibadat haji yang dilakukan oleh umat Islam yang berada di tanah suci Mekah pada hari ini bukan sahaja mengerjakan wukuf, tawaf dan sa'ie, tetapi juga diwajibkan melontar tiga jamrah di mana Nabi Ibarhim a.s sendiri telah melontar di tiga-tiga jamrah terhadap syaitan yang cuba menghalangnya daripada mengikuti perintah Allah S.W.T. Pada tiga-tiga jamrah inilah Nabi Ibrahim dengan batu telah melontar syaitan yang telah cuba menimbulkan keraguannya terhadap kebenaran mimpi daripada Allah S.W.T
Apakah tindak tanduk ini hanya berada di jamrah sahaja? Aapakah syaitan hanya menjadi musuh kepada Nabi Ibrahim sahaja? Apa yang jelas kepada kita, syaitan samaada berupa jin atau manusia walau di mana berada, ia menjadi musuh, bukan sahaja kepada Nabi Ibrahim, bahkan kepada semua Nabi-Nabi dan kepada mereka yang beriman.
Bertolak daripada apa yang telah berlaku disepanjang sejarah manusia bahawa syaitan adalah musuh mereka yang beriman dan umat Islam walaupun di mana sahaja. Mereka juga terdedah dengan halangan-halangan yang ditimbulkan oleh syaitan daripada kalangan manusia untuk terus menyesatkan orang-orang ynag beriman supaya masing-masing menjejaki langkah mereka yang dimurkai oleh Allah S.W.T.
Antara langkah-langkah syaitan adalah berusaha untuk memastikan umat manusia lalai daripada mentaati perintah Allah dan tidak mengikuti jalan yang telah dilalui oleh para Rasul a.s.
Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd. Sidang hadirin sekalian,
Kenyataan yang ada dihadapan kita pada hari ini, umat Islam samaada di dalam negara yang majoriti umat Islam atau sebagai kaum minoriti, mereka terus ditindas dan dinafikan hak mereka selagi tidak terlaksana hukum-hukum dan peraturan Allah S.W.T Sesungguhnya, tidak ada kemuliaan kepada umat Islam selagi tidak dilaksanakan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan beragama dan bernegara
Perjuangan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W telah terbukti dalam tahun kesembilan hijrah apabila tanah suci Mekah telah dapat dikuasai semula oleh baginda Rasulullah S.A.W. Sudah tentulah ia menjadi lambang kemuliaan kepada seluruh umat Islam dan kemenangan ini tercatat dalam Al-Quran: Surah An-Nasr ayat 1-3 yang bermaksud:
'Idul Adha sudah pasti mengingatkan kita semula kepada kejayaan perjuangan dan pengorbanan besar Nabi Muhammad S.A.W untuk mengembalikan kemuliaan dan keagungan Islam serta membebaskan umat ini daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada petunjuk demi mencapai keredhaan Allah S.W.T.
Apa yang menjadi nasib malang kepada umat Islam yang berada dalam negara yang majoriti umat Islam yang tidak melaksanakan Islam sebagai dasar dan perlembagaan, semakin sukar untuk menentukan pilihan mereka bersama Islam. Pemerintah sekular di negara Islam terus melakukan penindasan dan kezaliman agar suara Islam dan suara keadilan semakin dapat dipadamkan.
Hak mereka untuk bersuara menuntut kebenaran terus ditindas termasuklah menghadkan keluaran akhbar parti pembangkang dan menggunakan berbagai akta dan kuasa demi mengekalkan dasar sekularisma untuk terus berkuasa dan kepentingan mereka tidak akan tergugat. Suasana dan gelagat pemerintah sekular berlaku di negara yang majoriti umat Islam dengan menolak Islam sebagai Ad-din termasuklah negara kita yang begitu tebal dengan faham sekularisme yang sesat.
Sebenarnya mereka lupa akan peringatan Allah dalam Al-Quran, bagaimana mereka yang zalim dan mengengkari ugama, firman Allah dalam Surah As-Sof ayat 8-9 yang bermaksud:
" Mereka ingin memadam cahaya (agama)Allah dengan mulut mereka dan Allah tetap menyempurnakan cahayanya meskipun orang-orang kafir benci, Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkan di atas segala ugama sekalipun orang-orang musyrikin benci"
Begitu juga nasib malang yang menimpa di mana umat Islam menjadi minoriti, mereka terus dizalimi oleh golongan kuffar yang begitu benci dan dendam kepada orang Islam disebabkan oleh keimanan mereka terhadap Allah S.W.T. Lihat apa yang berlaku kepada umat Islam di Chehnya, di Kosova, di selatan Filipina dan di mana sahaja, mereka itu dinafikan hak mereka untuk menyatakan Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah. S.W.T.
Pada Hari Raya korban ini umat Islam bukan sahaja melakukan korban sebagai memenuhi tuntutan syariat Islam dan sunat Nabi Ibrahim a.s tetapi lebih besar daripada itu, iaitu umat Islam diminta berkorban apa sahaja termasuk jiwa, tenaga dan harta benda untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam yang telah lenyap ditelan masa selepas kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki.
Tuntutan umat Islam untuk terus berkorban dan berjihad adalah tuntutan sepanjang zaman untuk mencapai janji Allah kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Halangan daripada pemerintah sekular mesti dihapuskan demi memberi ruang kepada pemimpin yang bersedia untuk mendaulatkan Islam bukannya pemimpin yang berdolak dalih untuk mencari jalan supaya tidak terlaksana hukum Islam di atas muka bumi ini.
Namun begitu, ada kalangan pemerintah dan pemimpin sekular ini yang berkorban dan bertungkus lumus untuk mempertahankan sistem dan dasar sekular mereka dan ada di kalangan mereka yang bersungguh-sungguh menganjurkan maksiat dan kemungkaran dan seolah-olah mereka pun berjihad untuk memastikan Islam terus tidak dilaksanakan. Pemerintah sekular yang jahil terus berjuang untuk melindungi orang terlibat dengan rasuah dan pada masa yang sama menuduh orang lain dengan fitnah yang tidak masuk akal untuk mereka terus melakukan kezaliman demi kezaliman bagi memuaskan nafsu syaitan mereka.
Marilah kita menyedari seruan berkorban pada hari Raya 'Idul Adha ini demi mengembalikan keagungan Islam dan kemuliaan agama ini. Kita tidak mampu lagi dihina sepanjang masa, kita tidak mampu lagi melihat kemungkaran politik dan kezaliman terus berlakudan kita tidak mampu lagi melihat penyalahgunaan kuasa terus menjadi cara dan gaya bagi mereka yang berkuasa.
Marilah sama-sama kita tingkatkan semangat korban yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s dengan banyak melakukan pengorbanan bagi mendaulatkan hukum Allah. Setiap daripada kita akan dipersoalkan di hadapan Allah azzawajalla di atas apa yang menimpa umat pada hari ini. Di manakah kita? Apakah yang kita lakukan untuk melenyapkan pemimpin yang zalim yang suka melakukan fitnah terhadap oang lain demi mengekalkan kuasa dan kekayaan bersama kroni-kroni mereka.
Kitalah bertanggungjawab dan kitalah yang akan dipersoalkan kalau kita tidak sanggup untuk berkorban, berjihad dan terus berjuang demi melangsungkan perlaksanaan agama Allah S.W.T dan bersama-sama mempertahankan dasar kerajaan Membangun Bersama Islam. Sekaligud menegak kebenaran dan mendiri keadilan. Firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-Maidah ayat 8 yang bermaksud:
" Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkkan kebenaran, kerana Allah menjadi saksi dengan adilnya dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".
0 comments:
Post a Comment